suria

Tiada Sebab Untuk Khaled Letak Jawatan MB Johor - Azalina

Datuk Seri Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR: Tidak ada sebab untuk Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meletak jawatan atau dipecat daripada jawatan menteri besar Johor kerana beliau tidak seperti bekas menteri besar Kedah, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Khaled bukanlah 'musuh dalam selimut.

"Menteri besar Johor tidak seperti bekas menteri besar Kedah," katanya merujuk kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang meletak jawatan pada 3 Februari lalu.

Beliau menambah bahawa seorang lelaki tidak boleh bercakap mewakili seluruh Johor, memandangkan Khaled adalah seorang pemimpin yang melakukan kerja-kerjanya dengan baik dan memberikan sokongan padu kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata demikian sebagai memberi respons kepada posting di Facebook yang dibuat oleh Shukur Mohamad, anak kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, yang mendakwa terdapat satu plot untuk menyingkirkan Khaled daripada kedudukannya.

Dalam postingnya itu, Shukur mendakwa seorang timbalan menteri dari Johor telah memulakan gerakan untuk menyingkirkan Khaled.


Shukur turut mendakwa terdapat satu lagi plot untuk mengenepikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Umno bahagian Pagoh.

Artikel Lain