suria

Pakaian Seragam Patuh Syariah Tidak Diwajibkan Di Hospital Swasta

Datuk Seri Dr S. Subramaniam
KUALA LUMPUR: Kakitangan perubatan beragama Islam yang bekerja di perkhidmatan perubatan swasta tidak tertakluk kepada pemakaian pakaian seragam yang mematuhi syariah.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kod pakaian yang mematuhi syariah hanya terpakai kepada kakitangan perubatan beragama Islam di perkhidmatan perubatan kerajaan.

"Tidak ada peruntukan di bawah Akta 586 atau peraturan-peraturan yang menetapkan kod pakaian seragam yang mematuhi syariah untuk doktor dan jururawat Muslim di perkhidmatan perubatan swasta," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS- Kuala Nerus) di Dewan Rakyat, Rabu.

Walaupun tidak ada undang-undang untuk mengawal perkara itu, Dr Subramaniam berkata perkhidmatan perubatan swasta disaran lebih peka dan sensitif terhadap norma-norma agama kakitangan mereka.

"Ini akan memastikan persekitaran kerja yang kondusif dan harmoni," katanya.

Dr Subramaniam berkata kementerian telah menerima hanya satu aduan berkaitan isu ini yang telah pun diselesaikan.

Disember lalu, seorang jururawat di sebuah hospital swasta mendakwa dia telah dipecat kerana enggan memakai pakaian seragam berlengan pendek.

Walau bagaimanapun, hospital berkenaan menafikannya dengan menyatakan jururawat itu dipecat kerana isu disiplin.

Artikel Lain