suria

Tipu Pinjaman Mara: Lima Ahli Perniagaan Bebas

Lima ahli perniagaan yang ditahan reman selama tujuh hari bermula 31 Mac lalu bagi membantu siasatan berhubung sindiket pemalsuan dokumen bagi mendapatkan pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) membabitkan dana bernilai RM2.5 juta, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, Rabu.

PUTRAJAYA: Lima ahli perniagaan, yang ditahan reman selama tujuh hari berhubung kes pemalsuan dokumen dan penyelewengan pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) bernilai RM2.5 juta, dibebaskan, Rabu.

Mereka dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta seorang penjamin.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan kelima-lima lelaki tersebut dibebaskan selepas SPRM melengkapkan siasatan terhadap mereka.

Mereka yang berumur antara 38 hingga 48 tahun itu ditahan pada 30 Mac lepas di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen dan penyelewengan dana yang didalangi pegawai Mara Daerah Klang, Selangor.

Modus operandi sindiket yang aktif sejak 2013 itu adalah dengan memalsukan dokumen permohonan bagi mendapatkan pinjaman perniagaan sebelum menyeleweng dana yang diluluskan untuk kegunaan lain.

Dalam pada itu, jurucakap SPRM mengesahkan dalang utama kes tersebut akan ditahan tidak berapa lama lagi selepas siasatan yang kini 70 peratus siap, selesai sepenuhnya.

SPRM kini dalam proses mendapatkan dokumen daripada bank serta beberapa pihak berkaitan lain bagi melengkapkan siasatan sebelum suspek utama ditahan, katanya.

-- Bernama
Mara, SPRM

Artikel Lain