suria

Ahmad Bashah Serah 'Deklarasi Kedah' Kepada Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) menerima surat sokongan daripda Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (dua, kiri) pada perjumpaan khas Anggota Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Anggota Parlimen Dewan Undangan Negeri dan kepimpinan akar umbi UMNO seluruh Negeri Kedah di Parlimen hari ini. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan sokongan tidak berbelah bahagi negeri itu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau menyerahkan 'Deklarasi Kedah' kepada perdana menteri di Parlimen pada Rabu.

Deklarasi itu juga mengutuk percubaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggulingkan Najib.

Ahmad Bashah berkata langkah itu adalah satu amalan yang bertentangan dengan demokrasi dan beliau kecewa kerana Dr Mahathir telah bekerjasama dengan pembangkang.

"Kami kecewa dengan Tun Mahathir yang bersekongkol dengan DAP, PKR dan Amanah dalam usaha mereka untuk menggulingkan Najib sebagai perdana menteri, mengabaikan implikasinya terhadap negara dan rakyat.


"Kami juga mengkritik tindakan pemimpin Umno tertentu yang masih memegang jawatan dalam parti terutama (bekas timbalan perdana menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan (bekas menteri besar Kedah) Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga menyokong agenda untuk menyingkirkan Najib," katanya.

Ahmad Bashah kemudian menggesa kerajaan untuk memecat pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang menentang Najib.

"Mereka perlu dikeluarkan daripada kedudukan mereka di dalam parti, kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

"Selain itu, tindakan disiplin juga perlu diambil terhadap pemberontak Umno yang merupakan sebahagian daripada deklarasi rakyat," katanya.

Ahmad Bashah memberitahu pemberita bahawa Deklarasi Kedah diserahkan kepada Perdana Menteri hanya selepas ia mendapat kelulusan semua Umno bahagian di negeri ini.

"Kami membuat pengakuan ini dengan persetujuan semua pemimpin Umno bahagian, Adun-Adun, ahli Parlimen Umno dan senator Umno, termasuk ketua-ketua Pemuda, Wanita dan  Puteri dari Kedah.

"Deklarasi ini telah dibuat untuk memberitahu orang ramai bahawa Kedah menyokong perdana menteri," katanya.

Artikel Lain