1,121 Permohonan Kahwin Bawah Umur Tahun Lalu - Rohani - Semasa | mStar

1,121 Permohonan Kahwin Bawah Umur Tahun Lalu - Rohani

KUALA LUMPUR: Sebanyak 827 permohonan perkahwinan di bawah umur 16 tahun bagi masyarakat Islam direkodkan tahun lalu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata Majlis Istiadat Sarawak pula merekodkan sebanyak 294 permohonan bagi tahun yang sama.

"Perkahwinan bagi bukan Muslim di bawah umur 16 tahun adalah tidak sah berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Rabu.

Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) mengenai jumlah perkahwinan membabitkan warganegara yang belum mencapai umur 16 tahun.

Nie Ching juga mahu kementerian menyatakan langkah-langkah untuk melarang perkahwinan bawah umur memandangkan Malaysia telah menerima satu resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak pada Oktober 2013.

Rohani berkata di Malaysia, perundangan perkahwinan adalah di bawah undang-undang keluarga ditadbir secara berasingan bagi yang beragama Islam dan bukan Islam.

"Perkahwinan Islam ditadbir di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri-negeri yang memperuntukkan bahawa perkahwinan di bawah umur 16 tahun hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan Mahkamah Syariah.

"Bagi yang bukan beragama Islam, Seksyen 10 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 memperuntukkan bahawa umur minimum perkahwinan pada 18 tahun.

Bagaimanapun seorang perempuan yang telah mencapai umur 16 tahun boleh berkahwin dengan kebenaran (lesen) yang diberikan oleh Ketua Menteri," katanya.

Katanya perkahwinan adat pula dilaksana dan didaftarkan di bawah undang-undang adat mengikut kaum peribumi masing-masing di Sarawak dan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 di Sabah.

Sementara itu, Rohani berkata KPWKM mengambil pendirian bahawa kanak-kanak perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya.

Oleh itu katanya, beberapa langkah diambil untuk menangani perkahwinan bawah umur termasuk mewujudkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif Kebangsaan, penubuhan pasukan pertugas Perkahwinan Bawah Umur serta pewujudan pusat remaja kafe@TEEN di seluruh negara bagi memberikan maklumat berkaitan isu psikososial dan kaunseling.-- Bernama


Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

Artikel Lain