suria

Mangsa Keracunan Makanan Di Tapah Meningkat - Dr Subra

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam (kanan) beramah mesra dengan orang ramai yang ingin mendapatkan rawatan sempena lawatan kerja di Hospital Taiping, Rabu. Turut hadir Pengarah Hospital Taiping Dr Kamaruddin Alias (empat, kanan).

IPOH: Jumlah mangsa yang mengalami simptom keracunan makanan di Sekolah Menengah Sains Tapah meningkat kepada 63 orang berbanding 44 orang, pada Selasa.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata daripada jumlah itu, seramai 25 orang masih berada di wad sementara 10 orang dibenarkan keluar daripada hospital manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar. 

"Pihak kami sedang menunggu keputusan sampel makanan yang telah dihantar ke makmal kesihatan awam untuk mengenal pasti punca keracunan," katanya kepada pemberita selepas lawatannya ke Hospital Taiping, Rabu.

Sabtu lepas, seramai 43 orang pelajar dan seorang guru sekolah berkenaan mengalami keracunan makanan selepas dipercayai memakan roti jala dan kari ayam di dewan makan asrama sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata makanan berkenaan dihidangkan sebagai juadah lewat malam oleh pihak pengendali dapur asrama.

Dr Subramaniam berkata kementeriannya akan terus bekerjasama dengan  Kementerian Pendidikan dalam memantau kualiti bekalan makanan di kantin dan dewan makan asrama sekolah berkenaan.

"Kita juga memberi latihan kepada guru-guru mengenai garis panduan makanan di kantin sekolah dan dewan makan asrama," katanya.

Mengenai operasi pembasmian pembiakan nyamuk Aedes, beliau berkata operasi yang dilaksanakan di 192 'titik panas' di seluruh negara bermula Isnin ini turut melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan, polis, tentera, Jabatan Pertahanan Awam dan Rela.

"Program ini adalah untuk memastikan kita boleh mengurangkan jumlah wabak denggi dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana mengikut analisis ramalan dijalankan, ada kemungkinan peningkatan berlaku tahun ini," katanya sambil menambah bahawa program itu akan diadakan selama beberapa minggu.

Beliau berkata Selangor merupakan negeri yang akan diberi perhatian kerana sebanyak 40 peratus kes demam denggi dilaporkan di negeri itu.

"Saya harap penyelia di kawasan pembinaan dan pemilik lot kosong berhati-hati. Majlis tempatan juga perlu berhati-hati dengan pembentungan dan bahan buangan mereka," katanya.

Sempena lawatan itu, Subramaniam turut merasmikan Bangunan Blok Servis Klinikal (CSB) Hospital Taiping yang telah siap pembinaannya pada 21 Mei 2014 dan diduduki secara berperingkat bermula Ogos 2014.

Projek bernilai RM189 juta itu turut merangkumi pembinaan Blok Diagnostik dan Rawatan empat tingkat, pembinaan blok tempat letak kereta enam tingkat dan ruang tambahan loji tenaga pusat serta pemasangan lif untuk blok wad sedia ada.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain