suria

Pentas Foto Konvo Runtuh: Tiada Rakyat Malaysia Di Baghdad Terlibat

PETALING JAYA: Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian runtuhan pentas bertingkat ketika sesi fotografi sempena majlis konvokesyen di sebuah universiti di Baghdad, Iraq baru-baru ini.

Sumber Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan, siasatan mendapati kejadian itu melibatkan graduan Sekolah Farmasi Universiti Baghdad.

"Seramai 10 penuntut cedera dalam kejadian yang berlaku semasa sesi fotografi itu.

"Bagaimanapun, tiada pelajar Malaysia terlibat," katanya kepada mStar Online, Selasa.

Sumber itu menambah, pemeriksaan mendapati kawasan berkenaan hanya didiami warga Malaysia yang bekerja dengan Petronas di negara itu.

Insiden yang berlaku pada 26 Mac lalu itu, sekumpulan graduan berhadapan saat mencemaskan apabila pentas bertingkat yang dibina untuk merakamkan kenangan sempena majlis konvokesyen tiba-tiba runtuh.

Ketika kejadian, tenaga pengajar universiti serta ahli keluarga penuntut yang berada berdekatan turut terkejut apabila binaan itu roboh.


Baghdad, universiti, farmasi

Artikel Berikut

Artikel Lain