suria

Isu Tanah Taman Manggis Kini Cecah RM59 Juta - Rahman Dahlan

Abdul Rahman bersama Ahli Parlimen Simpang Renggam Liang Teck Meng mendedahkan dokumen jual beli tanah Taman Manggis, pada sidang media Isnin.

PUTRAJAYA: Bukti urusniaga kontroversi melibatkan tanah yang diperuntukkan bagi projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Taman Manggis, Pulau Pinang dikemukakan disebalik penafian Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Dokumen Perjanjian Jual Beli (S and P) itu didedahkan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan pada sidang media di sini, Selasa.

"Ketua Menteri Pulau Pinang menafikan tanah itu telah dijual kepada pihak ketiga. Tetapi apa yang dia tidak dedahkan adalah tanah itu kini dimiliki syarikat swasta iaitu Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) dan penjualan saham syarikat ini juga memberi kesan kepada penjualan tanah itu," kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Abdul Rahman juga menegaskan, tanah itu dijual semula oleh KLIDC kepaa pihak ketiga lima tahun kemudian pada harga RM70.6 juta dengan keuntungan sebanyak RM59 juta, walaupun projek utamanya tidak dibangunkan.

Dua dokumen yang didedahkan Abdul Rahman itu ditandatangani dan perjanjian jual beli disetem pada 11 November 2015. Harga pembelian bagi transaksi itu yang dinyatakan adalah RM70,643,628.

Bagaimanapun, nama pembeli terkini tanah berkenaan dipadamkan.

"Apabila dibaca kedua-dua dokumen itu secara berturutan, ia didapati memberi kesan kepada penjualan projek Pusat Perubatan dan Hotel dengan aset utamanya adalah tanah di Taman Manggis," katanya.

Abdul Rahman juga mempersoalkan sama ada kerajaan Pulau Pinang telah dimaklumkan mengenai penjualan itu pada November dan apakah kelulusan telah diperoleh.

"Tanah itu pada asalnya dijual kepada KLIDC pada 16 Jun 2010 oleh kerajaan DAP Pulau Pinang pada harga RM11,552,208 atau RM232 setiap kaki persegi, dimana ia dipercayai di bawah harga pasaran semasa ketika itu.

"Selepas enam tahun, tanah yang diperuntukan untuk PPRT telah dijual kepada syarikat swasta tanpa sebarang kerja-kerja tanah," katanya.

Abdul Rahman berkata, pihaknya akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk tindakan lanjut, Selasa.

Tanah di Taman Manggis itu seluas 4.937 ekar (1.99 hektar) diperuntukkan untuk pembinaan PPRT yang mana sebanyak 2.872 ekar (1.162 hektar) telah dibangunkan untuk projek itu, manakala selebihnya sepatutnya digunakan untuk pembangunan projek sama bagi fasa kedua.

Bagaimanapun, tanah selebihnya itu kemudiannya telah dijual kepada KLIDC yang pada awalnya bercadang untuk membina sebuah rawatan swasta sahaja namun ditukar kepada pembinaan pusat rawatan swasta berserta lot komersial.


Artikel Lain