suria

Inspektor Didakwa Minta, Terima Rasuah Tiga Tahun Lepas

IPOH: Seorang Inspektor polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Selasa atas dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah pada tiga tahun lepas.

Amrin Paiman, 54, yang bertugas sebagai Inspektor Pendakwaan Trafik, Bahagian Ketenteraman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh didakwa meminta suapan RM500 daripada Amir Hakim Amel Rosmadi @ Adek di tempat meletak kenderaan di Le Courts, Apartment Desa, Tambun di sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari, 13 November 2013.

Ia sebagai dorongan untuk tidak menuduh Amir Hakim di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan, iaitu memandu secara berbahaya yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Selain itu, bapa kepada lima orang anak itu didakwa memperoleh suapan wang tunai RM700 daripada Amir Hakim sebagai dorongan yang sama di Restoran Serambi Desa, Tambun kira-kira pukul 10.15 malam pada 14 November 2013.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim S.Indra Nehru membenarkan Amrin diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan Jumaat ini untuk sebutan semula kes.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam Muhaimin Aris.

-- Bernama

Amrin Paiman, Le Courts, Inspektor

Artikel Berikut

Artikel Lain