suria

Simpan Wang Di Luar Negara Elak Cukai Dah Lama Berlaku - Ku Li

KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah berkata, tindakan seseorang menyimpan wang di negara asing bagi mengelak cukai adalah sesuatu yang boleh diterima walaupun ia tidak mematuhi undang-undang.

Veteran Umno itu berkata, adalah suatu kebiasaan untuk ahli perniagaan dan pemimpin politik untuk berbuat sedemikian.

"Ia telah lama berlaku dan semua pihak tahu kewujudan kemudahan untuk menyimpan wang di negara asing bagi mengelak cukai.

"Bukan sahaja ahli politik, tetapi juga sesiapa sahaja yang mahu menyimpan wang di tempat yang dikecualikan daripada cukai, kenapa tidak," katanya kepada wartawan pada Selasa.

Ahli Parlimen Gua Musang itu merujuk kepada laporan Panama Papers mengenai 11.5 juta dokumen melibatkan pemimpin dunia dan selebriti yang terbongkar hasil siasatan lebih 100 wartawan global.

"Saya tidak katakan ia tidak salah, tetapi jika dengan bertindak sedemikian mereka dapat menjimatkan wang, kenapa tidak," katanya.

Ditanya sama ada ia tidak sah, beliau berkata: "Bukan kerana ia haram atau tidak, ia lebih kepada melakukannya dengan betul atau sebaliknya."

Bagaimanapun, Tengku Razaleigh menegaskan adalah penting untuk kerajaan meneliti isu berkenaan.

"Bagi memastikan wujud ketelusan dan tadbir urus baik, saya fikir tindakan susulan perlu diambil bagi meneliti perkara ini," katanya.

Artikel Lain