suria

Banglo RM2.8 Juta: SPRM Alu-Alukan Guan Eng Beri Keterangan

PETALING JAYA: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng boleh tampil secara sukarela kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kontroversi pembelian sebuah banglo dengan harga di bawah pasaran.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki bagaimanapun berkata, SPRM hanya akan memanggil Guan Eng tampil memberi keterangan selepas keterangan beberapa saksi diperolehi.

Menurut Azam, sehingga kini pihaknya telah memanggil beberapa saksi dan mengambil dokumen-dokumen berkaitan berhubung kes berkenaan.

"Keterangan Lim Guan Eng akan diambil apabila keterangan daripada saksi-saksi diperoleh. Ia juga bergantung kepada keadaan selepas dokumen-dokumen yang diperoleh diteliti dan keterangan saksi diambil.

"Walau bagaimanapun, berhubung kesediaan Lim Guan Eng untuk memberi kerjasama kepada SPRM dan mahu siasatan disegerakan, beliau boleh datang ke pejabat SPRM pada bila-bila masa untuk membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.

Sebelum ini Guan Eng menyuarakan kesediaannya untuk bersemuka dengan SPRM bagi membantu siasatan berhubung pembelian banglo berkenaan.

Selain itu Azam berkata sehingga kini SPRM menerima sebanyak lapan aduan daripada pelbagai pihak berhubung isu pembelian banglo dengan harga RM2.8 juta.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabuddin Yahaya mempersoalkan bagaimana Guan Eng boleh membeli banglo itu pada 25 Oktober tahun lalu dengan harga RM2.8 juta sedangkan harga pasarannya dianggarkan antara RM6 juta hingga RM6.5 juta.

Dakwanya, rumah itu pada mulanya dimiliki seorang wanita, Phang Li Koon yang membelinya pada Oktober 2008 dengan harga RM2.5 juta sebelum diubah suai membabitkan kos ratusan ribu ringgit kemudiannya disewa Guan Eng dengar kadar RM5,000 sebulan sejak Julai 2009 dan sebelum dibeli.

Lim Guan Eng, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain