suria

Air Sungai Pahang Di Temerloh Kian Cetek

TEMERLOH: Cuaca panas yang melanda negara sejak awal tahun ini menyebabkan Sungai Pahang, di sini yang merupakan kawasan penternakan ikan patin utama di negeri ini menjadi semakin cetek dan hampir kering di beberapa kawasan.

Keadaan itu dilaporkan bertambah kritikal sejak sebulan lalu menyebabkan hampir 300 pengusaha ikan sangkar dan bot pelancongan serta penambang di sepanjang sungai itu hilang mata pencarian, dengan anggaran kerugian hampir RM2 juta setelah ikan ternakan mati.

Bagi pengusaha ikan sangkar Mohd Osman, 54, dari Kampung Padang Tenggala, kejadian air surut itu merupakan yang kedua terburuk berlaku di sungai berkenaan selepas 1974.

"Tahun 1974 dahulu memang air Sungai Pahang di Temerloh ini pernah menjadi surut, namun cuaca ketika itu tidak panas seperti sekarang. Tetapi sekarang, sudahlah air surut, panas terik pula menyebabkan banyak ikan dalam sangkar mati," katanya.

Beliau yang ditemui Bernama semasa melakukan tinjauan di daerah ini turut memaklumkan air sungai berkenaan kini dianggarkan hanya mempunyai kedalaman dua meter dan di sesetengah tempat menjadi kering berbanding kedalaman empat meter sebelum ini.

Beliau yang pernah mempunyai enam sangkar ikan kini terpaksa mencari rezeki dengan menoreh getah bagi menanggung isteri dan tiga anaknya yang masih bersekolah setelah kawasan sungai ternakan ikannya di Kampung Bangau Parit menjadi kering kontang.

Sementara itu, seorang lagi penternak ikan sangkar Mohd Feisal Mohd Norawi, 34, terpaksa menanggung kerugian hampir RM48,000 setelah 16 sangkar ikannya di kawasan itu mengalami nasib yang sama.

"Nasib saya tak ubah seperti jatuh ditimpa tangga, dua tahun lepas saya terpaksa menanggung kerugian setelah berlaku banjir besar di Temerloh. Namun ia tidak seteruk kali ini apabila kesemua 16 sangkar ikan saya tidak dapat beroperasi apabila air sungai menjadi kering.

"Paling memeritkan ialah saya sebelum ini membuat pinjaman dengan Agro Bank sebanyak RM60,000 untuk pembesaran projek ternakan ikan, namun begini pula jadinya dan saya kehilangan punca pencarian bagi menjelaskan pinjaman setiap bulan ," katanya.

Beliau mendakwa selain cuaca panas, kejadian air sungai surut itu turut disebabkan faktor pembalakan yang tidak terkawal di Hulu Sungai Pahang menyebabkan kawasan tadahan air di situ terjejas.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa terutama Jabatan Hutan dapat memantau perkara tersebut untuk mengelakkan ia bertambah buruk pada masa akan datang.

Seorang pengusaha bot, Sharul Rusdi Abu Bakar, 46, pula berkata tidak mustahil air Sungai Pahang di Termerloh akan menjadi kering jika keadaan kemarau berterusan dua hingga tiga bulan lagi.

"Nak bawa pelancong naik bot untuk mudik ke hulu dan hilir Sungai Pahang ini pun susah disebabkan keadaan air sungai dah menjadi semakin tohor dan tiada arus. Sudah tidak ada laluan bot.

"Dahulu dapat juga pendapatan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan untuk sara keluarga, sekarang terpaksa cari kerja lain," kata Sharul.

Sementara itu, usaha Bernama meninjau keadaan sepanjang Sungai Pahang di sini dengan menaiki bot juga gagal disebabkan keadaan air sungai cetek dan menyukarkan bot untuk melaluinya. 

Sungai Pahang, Temerloh

Artikel Lain