suria

Noor Farida (G25) Tandatangani Deklarasi Rakyat

Datuk Noor Farida Ariffin
PETALING JAYA: Datuk Noor Farida Ariffin menjadi salah seorang tokoh terkini yang menandatangani Deklarasi Rakyat bertujuan menggesa penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wakil daripada kumpulan 25 Melayu Terkemuka (G25) itu bagaimanapun berkata perkara itu dilakukan atas kapasiti peribadi.

Bercakap kepada pemberita selepas menandatangani deklarasi di sini, pada Selasa, Noor Farida berkata sudah tiba masanya bagi negara ini untuk memulihkan keyakinan dan memperkukuhkan institusi awam.

"Kita perlu memantapkan sistem penuh yang perlu diubah. Kita perlu mengukuhkan sistem semak dan imbang yang bagi kami adalah jaminan terbaik terhadap penyalahgunaan kuasa, kepada sesiapa yang berkuasa," katanya.

Bekas duta ini juga berkata beliau tidak yakin bahawa negara berada pada landasan yang betul untuk mencapai Wawasan 2020.

"Dengan apa yang kita lalui saya tidak pasti jika kita boleh mencapai Wawasan 2020 dan keperluan untuk (pembaharuan perlembagaan adalah sangat mendesak) kerana seperti yang dinyatakan dalam deklarasi itu, kita kini adalah salah sebuah negara yang paling korup di dunia," katanya.

Noor Farida berkata ia perlu dilakukan walaupun terdapat kritikan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai deklarasi itu.

"Saya rasa tiada siapa yang boleh menafikan bahawa sebahagian daripada masalah yang kita hadapi sekarang bermula dengan Dr Mahathir.

"Kita perlu pragmatik. Saya rasa semua rakyat Malaysia perlu berganding bahu untuk menolak rasuah kerana sekarang ia begitu endemik dan sangat berleluasa," katanya.

Terdahulu, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) telah mengumumkan bahawa lebih banyak kumpulan dan individu telah menyertai deklarasi itu.

Sehingga kini, lebih daripada 46,000 orang telah menandatangani deklarasi tersebut.

Artikel Lain