suria

Nazri Cabar Muhyiddin, Mukhriz Tanding Calon Bebas Dalam PRU-14

Datuk Seri Nazri Aziz
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya cabar mereka untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang sebagai calon bebas. Jika mereka fikir mereka sangat berpengaruh, maka bertandinglah sebagai calon bebas," kata Nazri kepada The Star Online.

Katanya, baik Muhyiddin atau pun Mukhriz tidak mempunyai karisma untuk terus hidup dalam politik mereka sendiri, dan apa sahaja yang menyokong kedua-dua mereka pada masa ini adalah semata-mata kerana Umno.

"Lihatlah Mukhriz dan Muhyiddin. Mereka tidak mempunyai karisma dan tiada aura.

"Kedua-dua mereka tidak mampu menarik generasi tua mahupun golongan muda," katanya.

Nazri berkata, mereka boleh bertanding sebagai calon bebas di kerusi pilihan mereka.

"Mereka tidak perlu pergi ke tempat lain, hanya bertanding di kawasan mereka sendiri di Pagoh dan Ayer Hitam, kubu kuat mereka. Jika tidak, mereka boleh mencabar saya di kawasan saya," katanya.

Ditanya mengenai masa depan kedua-dua mereka, Nazri berkata mereka tidak akan mendapatkan kembali sokongan yang telah hilang.

"Menjadi orang yang berpengaruh tidak bermaksud anda boleh melakukan apa yang anda suka dan melanggar disiplin parti.

"Apabila anda tidak lagi bersama parti, anda tidak akan mendapat sokongan," katanya.

Nazri berkata, setiap parti pasti berdepan perjuangan dalaman pada suatu masa dan yakin Umno akan dapat mengatasi sebarang cabaran semasa.

Artikel Lain