suria

Kementerian Pengangkutan Akan Panggil Pengurusan Rayani Air

SEPANG: Kementerian Pengangkutan akan memanggil pihak pengurusan Rayani Air bagi mendapatkan penjelasan berhubung aduan pengguna mengenai perkhidmatan dan operasi syarikat penerbangan itu.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata kementerian belum berpuas hati dengan tindakan Rayani Air dalam memperbaiki kualiti perkhidmatan selepas diberi amaran pertama bulan lepas.

Beliau berkata kementerian tidak akan teragak-agak memberi amaran kedua jika tiada tindakan lebih konkrit dan komprehensif diambil syarikat terbabit dalam mengatasi masalah operasi seperti diadukan.

"Mungkin apa yang berlaku di Rayani Air bukan disengajakan, kerana mereka juga beri keutamaan kepada keselamatan (penumpang).

"Tetapi sebagai kementerian bertanggungjawab mengawal selia syarikat penerbangan, kita mahu mereka memberikan perkhidmatan terbaik mengikut standard ditetapkan," katanya.

Beliau membuat kenyataan itu ketika ditemui selepas melancarkan Minggu Kempen Keselamatan Malindo Air sempena ulang tahun ketiga syarikat itu di sini Selasa.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata Rayani Air berdepan tindakan digantung operasi jika syarikat penerbangan itu gagal mematuhi garis panduan ditetapkan kementeriannya.

Berdasarkan standard minimum, setiap syarikat penerbangan perlu mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus ketepatan masa ketibaan sebagai indeks prestasi utama tahunan.

Jika gagal mereka akan diberikan amaran, katanya. 

Sharipuddin sekali lagi menegaskan pengguna yang tidak berpuashati dengan perkhidmatan mana-mana syarikat penerbangan boleh mengadu terus kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia yang baharu ditubuhkan.

Artikel Lain