suria

Empat Pelatih Pusat Serenti Kampung Selamat Lolos

GEORGE TOWN: Empat pelatih Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini didapati melarikan diri dari pusat itu lewat Jumaat malam.

Difahamkan, semua pelatih berusia antara 20 hingga 31 tahun itu disedari tiada di dalam pusat berkenaan kira-kira 11 malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara Asisten Komisioner Azmi Adam ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya bersama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sedang berusaha mengesan pelatih itu.

Beliau berkata pelatih yang melarikan diri dikenal pasti sebagai Sulaiman Abdullah, 20, Muhammad Syazwan Mohd Nazri, 21, Mohd Husamuddin Mohd Noor, 30, dan Mohd Noor Helmi Mat Said, 31.

Azmi berkata pihaknya turut menerima laporan kehilangan sebuah kenderaan di kawasan berhampiran pusat itu dipercayai dilarikan oleh pelatih terbabit.

"Orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat diminta menghubungi polis dan tidak cuba melindungi mereka daripada pihak berkuasa," katanya.-- Bernama

AADK, pusat serenti, Kampung Selamat

Artikel Lain