suria

Naib Canselor Boleh Tutup Universiti Jika Cuaca Panas Melampau - Idris

KUCHING: Naib Canselor diberikan autonomi untuk menutup universiti jika keadaan cuaca panas bertambah buruk akibat fenomena El-Nino ketika ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata melalui konsep autonomi kepada universiti, banyak keputusan boleh dibuat oleh Naib Canselor tanpa perlu dirujuk kepada kementerian.

"Naib Canselor boleh membuat keputusan sendiri (tutup universiti) ... ini berbeza dengan kementerian-kementerian lain di mana kebanyakan arahan datang daripada kementerian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi:Soaring Upwards di sini, Sabtu.

Idris berkata berharap semua program di luar bangunan dianjurkan universiti perlu mengambil kira keadaan cuaca panas bagi memastikan pelajar tidak menghadapi strok haba atau keletihan haba.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca panas dan kering ini akan berakhir pada Mei atau Jun, dengan suhu dijangka paling panas esok kerana fenomena ekuinok.-- Bernama


Idris Jusoh, El-Nino, universiti

Artikel Lain