suria

Ugutan Jamal Bukan Urusan Umno - Annuar

PUTRAJAYA: Ancaman Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos untuk membakar papan tanda 'Bebaskan Anwar' tiada kaitan dengan Umno, malahan tidak mendapat restu parti itu.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa sebaliknya berkata, perlakuan Jamal itu atas tindakannya sendiri.

"Tindakannya itu bukan tindakan Umno Malaysia, tapi dia secara individu. Umno tak bincang perkara berkenaan, itu bukan urusan Umno Malaysia.

"Itu adalah atas diri dia sendiri, tak relevan bagi kita," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Jamal yang mencetuskan kekecohan di Ampang bersama kira-kira 80 orang pengikutnya baru-baru ini.

Jamal mengancam untuk membakar papan tanda yang mahu supaya pemimpin PKR itu dibebaskan.

Ditanya sama ada Umno akan mengambil tindakan terhadap Jamal kerana tindakannya dianggap mencemarkan nama parti, Annuar berkata, perkara itu tidak berbangkit buat masa ini.

"Negara kita ada undang-undang, sesiapa sahaja tertakluk kepada undang-undang. Dia (Jamal) juga tidak terkecuali.

"Tapi saya tak pasti undang-undang apa yang dia langgar. Bagi Umno, kalau ada aduan mengenai pelanggaran disiplin, sudah pasti kita ada prosesnya. Buat masa ini perkara tersebut tak berbangkit," katanya.

Jaml Md Yunos, Annuar Musa, Umno

Artikel Lain