suria

Cuaca Panas Melampau: Kementerian Pendidikan Putuskan Keperluan Tutup Sekolah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kementerian Pendidikan akan memutuskan sama ada sekolah perlu ditutup sekiranya cuaca panas melampau masih berterusan selepas tamat cuti pertengahan penggal pertama persekolahan minggu ini.

Beliau berkata pada masa ini, langkah sedia ada adalah memberi kuasa mengikut budi bicara pengetua dan guru besar untuk membatalkan aktiviti luar kelas jika keadaan memaksa.

"Kerajaan akan mengambil segala langkah berjaga-jaga yang perlu untuk menghadapi cuaca panas melampau ini," kata Najib menerusi catatan terbaharunya dalam blog beliau www.najibrazak.com, Selasa.

Perdana menteri berkata beliau memandang berat kesan dan akibat daripada cuaca panas melampau yang melanda negara sejak kebelakangan ini.

"Gelombang haba atau heatwave yang berlaku juga boleh mendatangkan bahaya terutamanya kepada kanak-kanak dan golongan tua," kata Najib.

Sesi persekolahan di Kedah, Johor, Kelantan dan Terenganu dijadual bersambung pada 20 Mac ini manakala negeri-negeri lain pada 21 Mac, selepas tamatnya cuti pertengahan penggal pertama 2016.

Najib turut meminta orang ramai mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital kerajaan sekiranya terdapat gejala penyakit berkaitan cuaca panas dan gelombang haba seperti sakit kepala, ekzema pada kaki, denyutan jantung yang cepat, ruam panas, kekejangan otot atau sakit badan.

Beliau juga menyarankan rakyat untuk mengambil langkah berjaga-jaga terhadap risiko kebakaran terutamanya di kawasan kering seperti padang permainan berdekatan kawasan perumahan, ladang, belukar dan hutan.

Berikutan fenomena El Nino, Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih panas daripada biasa dan jumlah hujan yang kurang.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata satu mensyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah yang perlu diambil untuk menangani isu cuaca panas dan kering yang melanda negara.-- Bernama



Artikel Lain