suria

Agihan Pendapatan 6.30 Sen Seunit Bagi ASM

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri) bersama Presiden PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (kanan) menunjukkan agihan pendapatan Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2016 yang diumumkan pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) pada Selasa mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.30 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2016. 

Agihan berkenaan rendah sedikit berbanding 6.60 sen seunit yang diumumkan bagi ASM tahun lepas.

ASM merupakan tabung ekuiti pendapatan berharga tetap yang mengutamakan strategi pengekalan modal dan pelaburan yang bersesuaian dengan objektif dan profil tabung.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, prestasi tabung ASM masih memuaskan meskipun berdepan suasana pasaran yang mencabar dalam tempoh  dua tahun berturut-turut. 

"Antara faktor penyumbang ke atas prestasi ini ialah kejatuhan harga komoditi terutama minyak mentah yang berpanjangan, penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (US), kebimbangan berterusan pelabur terhadap pertumbuhan ekonomi China yang semakin perlahan dan peningkatan kadar faedah di US," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mengumumkan agihan dividen berkenaan di sini, Ahmad Sarji berkata, agihan pendapatan itu akan melibatkan pembayaran sejumlah RM1.03 bilion, peningkatan sebanyak 1.9 peratus berbanding RM1.01 bilion yang dibayar tahun lepas.

"Pembayaran berkenaan akan memberi manfaat kepada 536,862 pemegang unit yang melanggan sebanyak 16.298 bilion unit ASM," katanya.

Dalam tempoh tahun kewangan ASM sehingga 11 Mac, FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatatkan penurunan sebanyak 7.33 peratus kepada 1,696.54 mata daripada 1,830.78 mata dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Sehingga 11 Mac, tabung ASM telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM1.26 bilion, dengan keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM659.96 juta atau 52.23 peratus.

Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM423.66 juta atau 33.53 peratus dan selebihnya RM180.01 juta atau 14.24 peratus diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Sementara itu, Presiden/Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, kapasiti pembayaran agihan adalah sebanyak 8.80 sen seunit.

"Secara dasarnya kemampuan atau kapasiti untuk kita bayar ialah 8.80 sen seunit... (Baki) kapasiti akan dibawa ke hadapan dalam usaha mempelbagaikan portfolio pelaburan," katanya.

Mengulas mengenai keadaan dan prospek pasaran pada tahun ini, beliau berkata, sebagai pengurus dana, ASNB masih mempunyai peluang untuk menjana pendapatan.

"Dalam pasaran seperti ini, ia ok jika kita dapat mengekalkan atau mencatat sedikit pertumbuhan," katanya. - Bernama

Artikel Lain