suria

JKNMPP Cadang Larangan Sumbangan Asing

Paul Low.

PETALING JAYA: Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) mencadangkan larangan terhadap semua sumbangan politik dari sumber dan kepentingan asing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata, ia bertujuan untuk melindungi politik tempatan dan kedaulatan negara daripada pengaruh asing.

Cadangan berkenaan merupakan antara keputusan awal yang dibuat terhadap isu pembiayaan politik peribadi.

"Semua sumbangan yang diterima perlu dimaklumkan oleh 'controller' dalam tempoh 14 hari dan perlu didedahkan kepada umum dengan cara ditetapkan oleh akta berkaitan.

"Jika sumbangan tidak didedahkan, sumbangan itu akan dianggap sebagai sagu hati dan kedua-dua penerima dan penyumbang seharusnya didakwa di bawah akta anti rasuah di negara ini," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga jawatankuasa itu pada Selasa.

Matlamat utama jawatankuasa adalah menyediakan agenda secara menyeluruh dan komprehensif untuk memperkenalkan peraturan baharu mengenai pembiayaan politik di Malaysia.

Jawatankuasa tersebut turut mencadangkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kontraktor atau syarikat konsesi tidak dibenarkan membuat sumbangan politik sama ada kepada parti atau individu.

Ia turut berkata, tiada keperluan untuk meletakkan had ke atas pembiayaan peribadi daripada syarikat dan perseorangan.

"Derma dalam bentuk lain tidak dibenarkan melainkan ia diisytiharkan lebih awal kepada 'controller' yang boleh ditetapkan mengikut cara dan butiran yang termaktub dalam akta," kata Low.

Beliau berkata, sumbangan politik perlu disimpan di dalam akaun berasingan bagi membolehkan kesemua resit dan perbelanjaan disahkan oleh juruaudit bebas yang dilantik oleh 'controller' sekiranya diperlukan.

Artikel Lain