suria

TTS Tubuh Dive Marshal Di Taman Pulau Sipadan

Empat Marsyal SelamanTaman Pulau Sipadan (duduk) bergambar bersama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Ginun Yangus (lima, kiri) ketika pelancaran Pewartaan Perairan Taman Pulau Sipadan dan Marsyal Selaman di pulau itu pada Sabtu. Foto: Bernama

SEMPORNA: Taman-Taman Sabah (TTS) menubuhkan pasukan 'Dive Marshal' di Taman Pulau Sipadan bagi memantau dan menguatkuasa aktiviti selam skuba secara beretika di sekeliling pulau itu.

Pengarah TTS Dr Jamili Nais berkata pada peringkat permulaan, TTS melantik empat Dive Marshal yang melakukan pemantauan agar semua aktiviti selam skuba di sekitar 12 lokasi selaman di pulau itu dilakukan dengan etika yang betul.

Katanya Dive Marshal diwujudkan sejajar dengan pewartaan perairan disekililing Taman Pulau Sipadan oleh kerajaan negeri pada Julai tahun lepas.

"Pelantikan Dive Marshal ini juga merupakan satu titik permulaan bagi TTSsebagai satu mekanisme pemantauan bukan sahaja di Taman Pulau Sipadan bahkan akan diperluas di taman-taman marin yang lain.

"Ia untuk amalan aktiviti selam skuba yang beretika bagi menangani isu-isu salah laku terhadap ekosistem," katanya pada Majlis Pelancaran Kawasan PerairanTaman Pulau Sipadan dan Dive Marshal yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ginun Yangus di pulau itu, Sabtu.

Dalam pada itu, Arthur Severinus, salah seorang Dive Marshal berkata tugas memantau aktiviti menyelam di sekitar Taman Pulau Sipadan dilakukan bermula pukul 6 pagi.

Katanya tugas mereka adalah memantau aktiviti penyelaman supaya dilakukan secara beretika iaitu tidak menjejaskan terumbu karang dan hidupan marin.

"Pemantauan juga dilakukan terhadap bot bagi memastikan mereka hanya membawa peralatan menyelam sahaja dan tiada peralatan lain seperti pancing," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sekiranya mereka mengesan salah laku etika ketika menyelam ,laporan akan dibuat dan diserahkan kepada Renjer TTS untuk tindakan penguatkuasaan.-Bernama

Taman-Taman Sabah, Dive Marshal

Artikel Lain