suria

Hanya Dokumen Jabatan Audit Negara Iringi Laporan PAC Bawah OSA - Nur Jazlan

KLUANG: Hanya dokumen sokongan daripada Jabatan Audit Negara mengiringi rumusan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1Malaysia Development Bhd (1MDB), diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Sebaliknya, rumusan laporan PAC masih boleh dibentang di Parlimen, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Laporan (yang diklasifikasikan di bawah) OSA itu laporan Ketua Audit Negara, jangan salah faham, laporan yang diminta sendiri oleh Ketua Audit Negara untuk diklasifikasikan sebagai OSA," kata beliau kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Jabatan Penjara Malaysia Zon Selatan di Intan Kampus Wilayah Selatan (IKHWAS), Sabtu.

Apa yang penting, laporan PAC perlu mencapai konsensus kesemua ahlinya bagimemastikan laporan jawatankuasa itu bernilai tinggi, kata Nur Jazlan.

"Laporan PAC disertakan dokumen sokongan. Memandangkan laporan PAC adalah dibuat berasaskan laporan Ketua Audit Negara, ia merupakan dokumen sokongan kepada laporan PAC yang akan dibentang," kata bekas Pengerusi PAC itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kekeliruan mengenai laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB di bawah OSA.

Pada Jumaat, Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata PAC akan meneliti laporan akhir berkenaan berserta dengan 10 prosiding terdahulu bagi melengkapkan laporan jawatankuasa sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pada Jumaat (4 Mac), PAC mendengar pembentangan Laporan Akhir TerhadapPengauditan 1MDB oleh Ketua Audit Negara di bangunan Parlimen yang dijadualkan semula pada semalam dan Isnin (7 Mac) selepas ditangguhkan pada 24 dan 25 Feb lepas.

Hasan juga berkata PAC akur serta memahami keperluan dan tindakan Jabatan Audit Negara bagi mengklasifikasikan laporan akhir itu sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Menurut Hasan, Ketua Audit Negara mempunyai kuasa perundangan untuk berbuat demikian bagi menjaga kredibiliti dan integriti jabatan itu.

Keputusan Jabatan Audit Negara itu dilakukan berikutan ada maklumat dalam Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB yang dibentangkan kepada PAC pada Julai lalu, dibocorkan sehingga menjejaskan kredibiliti Jabatan Audit Negara dan PAC sendiri.-Bernama

PAC, 1MDB, Datuk Nur Jazlan Mohamed

Artikel Lain