suria

Lesen Motosikal Pelajar Sekolah Menengah Dipermudah - Mahdzir

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pendidikan menyambut baikcadangan Kementerian Pengangkutan yang mahu mewujudkan mekanisme untuk memudahkan pelajar sekolah menengah memiliki lesen motosikal. 

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata motosikal adalah satu keperluan bagi pelajar sekolah menengah terutama yang sudah berumur 16 dan 17 tahun memandangkan ia adalah pengangkutan yang fleksibel. 

"Cadangan Kementerian Pengangkutan itu sangat tepat pada masanya kerana kita mahu pelajar ini memiliki lesen yang sah mengikut undang-undang. 

"Saya juga sudah mengarahkan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harianuntuk berjumpa dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia untuk memperhalusi cadangan ini," katanya.  

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah di sini, Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi danTugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.   

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata beliau ada melawat sebuah sekolah pada minggu lalu dan mendapati hampir 700 pelajar di sekolah itu menggunakan motosikal memandangkan lokasi rumah mereka yang agak jauh dari sekolah. 

"Pengetua memaklumkan mereka tiada pilihan pengangkutan yang lain, namun sudah pasti dari 700 motosikal itu, sebahagiannya tiada lesen. 

"Kementerian berharap prosedur (mengeluarkan) lesen kepada pelajar sekolah dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi kebaikan semua pihak," katanya.  

Sementara itu, ditanya mengenai hasrat kerajaan negeri menubuhkan sebuah kolej matrikulasi di Terengganu beliau berkata ia masih dalam peringkat perbincangan.  

"Namun pada dasarnya, kementerian sudah pun meluluskan permohonan untuk sebuah kolej matrikulasi beroperasi sebelum akhir tahun ini di kampus sementara di Bandar Baru Ajil," katanya. -Bernama

Artikel Lain