suria

Polis Tahan Reman Pemandu Treler Kemalangan Di PLUS

IPOH: Polis menahan reman pemandu, sebuah treler yang menghempap sebuah kereta sehingga menyebabkan empat maut dalam kemalangan di Kilometer 265.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, selepas Terowong Menora Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata reman itu bermula pada Sabtu sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan terhadap kes itu.

Pemandu treler berkenaan juga mempunyai enam rekod kesalahan jalan raya, katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini. Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampilmembantu siasatan.

Mereka yang maut dalam kemalangan itu ialah Rosemani Abdul Ghani, 65; anaknya, Mohd Azhar Abdul Rahim, 43, dan dua orang anak Mohd Azhar yang dikenali sebagai Muhammad Aizat, 17, serta Muhammad Daniel, 13. 

Sum berkata bedah siasat mendapati Rosemani, Azhar dan Aizat maut disebabkan kecederaan serius pada bahagian kepala, manakala Daniel pula meninggal dunia akibat lemas terhidu asap. 

Keempat-empat mayat mangsa ditemui dalam sebuah kereta yang rentung pagi Jumaat, lebih 24 jam selepas kemalangan semasa kerja-kerja pengalihan treler berkenaan dibuat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.-Bernama

Treler, Plus

Artikel Lain