suria

Op Hari-Hari Operasi: Pengawal Keselamatan Warga Asing Tak Terkecuali

PETALING JAYA: Op Hari-Hari Operasi yang dilaksanakan bagi menangani masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati) di seluruh negara kini turut memberi tumpuan terhadap operasi syarikat kawalan keselamatan yang menggaji warga asing secara haram di kawasan perumahan.

Surat Pekeliling Agensi Persendirian Bil 2. Tahun 2006 yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada syarikat kawalan keselamatan menetapkan hanya warga Nepal di kalangan bekas tentera dibenarkan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia.

Mengikut rekod KDN, lebih 24,000 pengawal keselamatan warga Nepal berdaftar di negara ini.

Bagaimanapun, operasi yang dikendalikan Jabatan Imigresen bersama agensi penguatkuasaan lain mengesan penggunaan pengawal keselamatan asing tidak sah, termasuk warga Nepal sendiri.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sakib Kusmi mendedahkan selain dari Nepal, antara warganegara lain yang ditahan semasa operasi itu adalah rakyat Bangladesh, India, Indonesia dan Myanmar.

Sakib Kusmi
Katanya, penahanan warga Nepal itu kerana mempunyai permit kerja dari sektor lain tetapi bekerja sebagai pengawal keselamatan atau tidak mempunyai permit kerja sah.

“Berdasarkan senario semasa, saya berpendapat sudah tiba masanya surat pekeliling yang sudah hampir 10 tahun ini dikaji semula. Sebelum ini, kita mungkin boleh mendapatkan pengawal keselamatan warga Nepal yang mempunyai latar belakang sebagai tentera dan polis.

“Tetapi pada masa sekarang, mungkin tidak begitu mudah untuk mendapatkan calon-calon dari Nepal yang mempunyai latar belakang berkenaan seperti yang disyaratkan. Peredaran masa menunjukkan keadaan dahulu dan sekarang jauh berbeza.

“Sehubungan itu, pengambilan pengawal keselamatan warga asing perlu dikaji semula bagi memberi peluang warga asing dari negara sumber lain yang berpengalaman dan berkelayakan,” katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah.

Peraturan-peraturan berkaitan dengan pengawal keselamatan warga asing ditetapkan di bawah Akta Persendirian 1971, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pendaftaran Negara 1959.

Sakib berkata, sekiranya ia dikaji semula, syarat pengambilan pengawal keselamatan warga asing akan diperketatkan seperti mewajibkan latihan khusus.

Ditanya adakah jumlah pengawal keselamatan warga Nepal berkelayakan mencukupi, Sakib berkata: “Tidak, sebab itulah kita juga boleh ambil orang tempatan, dengan syarat biarlah gaji yang ditawarkan itu sama seperti pengawal keselamatan asing.

“Kita ada ramai rakyat tempatan di kalangan bekas tentera dan polis. Mereka juga boleh dilatih menjadi pengawal keselamatan,” katanya.

Menurut Sakib, sebanyak 347 operasi penguatkuasaan membabitkan pengawal keselamatan warga asing sejak 2013 sehingga 1 Mac 2016.

“Seramai 1,480 pengawal keselamatan asing diperiksa sepanjang tempoh tersebut dan daripada jumlah itu, 1,116 Pati ditangkap. Kita turut menahan 29 majikan yang menggaji pengawal keselamatan warga asing haram,” katanya.

Bagi operasi dari 2013 sehingga 2015 sahaja, seramai 1,090 pengawal keselamatan asing ditangkap, dan warga Nepal mencatatkan jumlah tertinggi dengan 684 orang, diikuti Pakistan (165), India (96), Indonesia (59), dan bakinya dari negara-negara lain.

Antara kesalahan mereka ialah tiada permit, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan pemalsuan dokumen.

Mengikut rekod KDN, sebanyak 70 operasi dijalankan di kawasan perumahan sepanjang 2015 dan difahamkan secara puratanya setiap operasi melibatkan enam lokasi kejiranan.

Tangkapan ke atas pengawal keselamatan warga asing di kawasan perumahan sepanjang 2015 seramai 186 orang.

Sakib berkata, menggunakan khidmat pengawal keselamatan asing haram berisiko terutama di kawasan perumahan kerana tiada jaminan keselamatan dan boleh mengancam ketenteraman awam jika berlaku jenayah.

Tambahnya, tiada pihak akan dipertanggungjawabkan jika jenayah yang berlaku berpunca daripada pengawal keselamatan warga asing yang digaji secara haram itu mahupun dilakukan pihak luar.

“Pengawal keselamatan haram ini boleh melarikan diri pada bila-bila masa jika mereka melakukan kesalahan atau berlaku sesuatu yang tidak diingini di kawasan perumahan tertentu,” kata Sakib.

Mengikut surat pekeliling yang sama, kegagalan mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan akan mengakibatkan syarikat pengawal keselamatan tidak dibenarkan mengambil pekerja di kalangan bekas tentera warga Nepal, selain menyebabkan lesen syarikat ditarik balik.

Sepanjang 2014 dan 2015, KDN telah membatalkan lesen 40 syarikat kawalan keselamatan, manakala 49 syarikat diberi amaran terakhir di atas pelbagai kesalahan termasuk menggunakan pengawal keselamatan warga asing haram.

Sehubungan itu, Sakib menasihatkan kepada masyarakat terutama penduduk supaya memainkan peranan dengan memastikan hanya syarikat kawalan keselamatan yang berlesen sahaja dibenarkan memberikan perkhidmatan kawalan keselamatan.

“Masyarakat juga perlu memastikan khidmat yang digunakan terdiri daripada pengawal keselamatan tempatan atau warga Nepal yang dibenarkan serta lulus tapisan keselamatan oleh KDN dan PDRM (Polis Diraja Malaysia),” ujar Sakib.

Op Hari-Hari Operasi, Pati

Artikel Lain