suria

Dr Mahathir Tidak Cerminkan Sikap Negarawan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan pembangkang untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak langsung mencerminkan sifat-sifat seorang negarawan yang menghormati sistem demokrasi, cintakan perpaduan dan mementingkan kesejahteraan rakyat.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Dr Mahathir serta beberapa pemimpin Umno yang lain seharusnya sedar tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada perdana menteri, tetapi juga kepada parti, kerajaan dan negara.

"Di saat kita di saf kepimpinan sedang bertungkus-lumus memastikan ekonomi dan keselamatan awam dijamin demi kesejahteraan rakyat, Dr Mahathir, beberapa pemimpin UMNO dan pihak pembangkang terlalu rakus dengan agenda menjatuhkan perdana menteri.

"Kestabilan yang selama ini menjadi tonggak kekuatan kita cuba dihakis semata-mata untuk menjayakan agenda politik penuh kebencian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin menggulas tindakan Dr Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 orang - termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR - dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Penandatangan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Hishammuddin juga berkata beliau tidak faham bagaimana Dr Mahathir serta beberapa pemimpin Umno yang terlibat boleh duduk semeja dengan pemimpin PKR, PAS, DAP, Amanah serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain semata-mata untuk menumbangkan perdana menteri.

"Lupakah mereka bahawa NGO-NGO inilah yang bermati-matian mahu menjatuhkan kerajaan sebelum ini melalui beberapa siri demonstrasi jalanan. Lupakah mereka bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang inilah suatu ketika dahulu yang menggelarkan Dr Mahathir sebagai Firaun," katanya.

Hishammuddin turut menyifatkan tindakan sebilangan pemimpin Umno itu seolah-olah cuba mengambil alih peranan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan yang sah ketika ini.

"Mereka harus menghormati sistem demokrasi yang kita junjung. Tindakan mereka hari ini jelas bertentangan dengan nilai dan prinsip perjuangan yang mereka pegang selama ini.

"Saya harap anggota-anggota Umno faham bahawa Dr Mahathir sudah keluar dari Umno dan kini mula bergabung dengan pembangkang, justeru tindak-tanduknya sudah pasti tidak lagi mengambil kira kepentingan Umno," katanya.

Artikel Lain