suria

Masyarakat Perlu Bersama Kerajaan Perangi Keganasan - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu bersama dengan kerajaan dan pasukan keselamatan dalam memerangi segala bentuk jenayah, keganasan dan ekstremisme, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata aspek keselamatan merupakan asas penting dalam pembangunan sesebuah negara dan kerana itu ia perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

"Asas pillar atau tiang seri kepada mana-mana negara... tanpa keselamatan, kita tak mungkin boleh membawa pembangunan, malah kita mungkin tak tidur jenera (lena) tiap-tiap malam kalau rasa diri kita dan keluarga kita tidak selamat.

"Maka keselamatan memerangi jenayah dan menolak keganasan serta ekstremisme mestilah diberi perhatian yang serius bukan hanya oleh kerajaan, pasukan keselamatan tetapi juga masyarakat setempat dan pemimpin tempatan, yang mesti bersama memerangi jenayah, memerangi keganasan dan segala bentuk fahaman yang boleh membawa kepada keganasan," katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Komuniti Muhibbah dan Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan di PPR Kampung Muhibbah di sini Sabtu.

Perdana menteri berkata soal keselamatan merupakan antara empat perkara yang beliau selaku ketua pentadbiran kerajaan tekankan dan dijadikan keutamaan, manakala tiga lagi adalah kestabilan politik, tadbir urus ekonomi yang baik serta menangani kemaslahatan (faedah) rakyat.

Bagi kestabilan politik, Najib berkata kerajaan tidak bersifat kuku besi dan mengamalkan 'dictatorship', sebaliknya menyanjung tinggi prinsip demokrasi berparlimen.

"Setiap lima tahun kita kembalikan kepada rakyat untuk pilih kerajaan yang dikehendaki oleh rakyat. Tetapi antara dua pilihan raya (umum) kita kena jaga kestabilan politik.

"Alhamdulillah kerajaan yang ada mempunyai majoriti yang mencukupi. Sesiapa yang uar-uarkan kerajaan akan tumbang, apa yang mereka dakwa itu (tidak menjadi), apabila belanjawan negara tahun lepas diluluskan di Parlimen dengan majoriti yang besar. Begitu juga rang undang-undang lain juga boleh diluluskan di Parlimen. Kita tak bimbang dari segi kestabilan politik," katanya.

Sehubungan itu, perdana menteri berkata rakyat perlu memastikan kestabilan politik negara terjamin dan tiada yang mampu menggugatnya.


"Kalau hidup dalam keadaan terumbang-ambing dari soal keselamatan dan kestabilan politik, yang akan rugi adalah rakyat jelata," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain