suria

Bekas Pemimpin Umno Perlu Sokong Kepimpinan Hari Ini - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.

BAGAN DATOH: Bekas kepimpinan Umno perlu menyokong kepimpinan sekarang sebagaimana mereka memerlukan sokongan ketika memiliki jawatan dahulu, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu turut bersetuju dengan kenyataan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menerusi laman Facebooknya yang menempelak Tan Sri Rafidah Aziz yang didakwa menyimpang daripada nasihat yang selalu diberi.

Menerusi laman Facebooknya, Shahrizat berkata kenyataan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu tidak mengikut nasihat yang selalu diberi sebelum ini, iaitu sentiasa taat dan patuh kepada pemimpin.

Ahmad Zahid berkata apabila tidak lagi berada dalam arus perdana kepimpinan kerajaan dan parti, tidak semestinya wujud perbezaan pendapat sehingga melontar kritikan, ibarat 'menepuk air dalam dulang yang akhirnya terpercik ke muka sendiri'.

"Biarpun zaman kita (bekas pemimpin) telah berlalu, kekuatan kita ketika memegang tampuk kepimpinan parti dan kerajaan adalah disebabkan dukungan daripada pemimpin peringkat bawahan dan pertengahan.

"Jadi apabila mereka berada di peringkat teras kepimpinan kerajaan dan parti, maka orang lama-lama harus mendukung biarpun berbeza pendapat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Karnival Sambutan Jubli Intan 64 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun di sini Sabtu. - BERNAMA

Ahmad Zahid Hamidi, Umno

Artikel Lain