suria

Jenazah Duta Besar Malaysia ke Switzerland Dijangka Tiba Di KLIA Pada Ahad

KUALA LUMPUR: Jenazah Duta Besar Malaysia ke Switzerland, Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor yang meninggal dunia di Berne, Switzerland Rabu lepas, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.25 petang Ahad.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, berkata jenazah akan dibawa pulang dengan penerbangan Lufthansa Airlines LH 782.

"Kenderaan membawa jenazah Allahyarham dijangka tiba di anjung Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 6.30 petang sebelum dibawa ke Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA untuk disembahyangkan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, selepas disembahyangkan, jenazah akan dibawa terus keMuar, Johor pada 6.50 petang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota, Batu 11/4, Jalan Bakri.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Anna Amalina Imam Baweh dan lima anak.

Mohd Zulkephli mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik sejak 1984. Sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Switzerland, beliau pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan pada Julai 2012.   

Mohd Zulkephli juga pernah memegang jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Libya dari 2009 hingga 2011 dan terlibat secara langsung dalam operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Libya.   

Selain itu, Allahyarham pernah bertugas di beberapa perwakilan Malaysia seperti Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles dan Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di Geneva.-Bernama

Artikel Lain