suria

Banjir Melaka: 1,315 Mangsa Dari Tiga Daerah Sehingga 8 Malam

MELAKA: Mangsa banjir di Melaka terus bertambah dengan 1,315 orang daripada 281 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan di tiga daerah di negeri ini sehingga 8 malam Sabtu.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata lapan pusat pemindahan dibuka di Alor Gajah, tiga di Jasin dan satu di Melaka Tengah.

Di Alor Gajah, seramai 458 orang ditempatkan di Balai Raya Seri Bayu, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan (316 orang), Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam (202 orang), Sekolah Kebangsaan Ganun (59 orang), Balai Raya Kampung Beringin (34 orang), Surau Taman Seri Cahaya Tebong (18orang), Balai Raya Bukit Balai Durian Tunggal (18 orang), Balai Raya BukitTambun (8 orang).

"Bagi Jasin pula, seramai 62 orang mangsa ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Bekoh, 25 mangsa di Sekolah Kebangsaan Chohong dan tiga mangsa di Balai Raya Asahan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Beliau berkata 112 orang ditempatkan di pusat pemindahan di Masjid Rahman,Tanah Merah, Krubong di daerah Melaka Tengah.

Effendy berkata mangsa banjir di negeri ini mungkin terus meningkat sekiranya hujan lebat berlarutan. Beliau juga meminta mangsa banjir memberi kerjasama dengan berpindah ke pusat pemindahan yang dibuka bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini.-Bernama

Banjir Melaka

Artikel Lain