suria

Virus Zika: Kementerian Kesihatan Akan Keluarkan Garis Panduan

SEREMBAN: Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan garis panduan kawalan dan pencegahan virus Zika dalam tempoh 48 jam berikutan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan bahawa ia menjadi ancaman kesihatan awam antarabangsa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, pada masa ini rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan rancangan untuk berkunjung ke Amerika Selatan.

"Kita sedia maklum mengenai nasihat WHO dan kita menangani perkara ini secara serius," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kesedaran Kalori di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan), Lebuhraya Utara-Selatan pada Selasa.

Dr Subramaniam berkata, Malaysia turut berhadapan dengan risiko kerana wabak itu disebarkan oleh nyamuk aedes.

"Nyamuk adalah satu-satunya vektor yang membawa virus Zika.

"Oleh itu, kita perlu menumpukan kepada membasmi vektor ini daripada penyebaran virus di sini," katanya.

Dr Subramaniam berkata, satu lagi cabaran dihadapi pihak berkuasa ialah pembawa virus itu sukar untuk menunjukkan sebarang simptom.

"Tiada vaksin atau rawatan untuknya," katanya.

Dr Subramaniam berkata, kementeriannya turut akan menasihatkan mereka yang pulang dari Amerika Selatan supaya berwaspada sekiranya mereka mengalami lesu atau berasa lemah pada anggota badan. 

WHO mengisytiharkan virus sebagai ancaman kesihatan awam antarabangsa apabila ribuan bayi yang dilahirkan di Brazil mengalami kerosakan otak.

Mangsa turut mempunyai saiz kepala kecil yang bukan kebiasaannya. 

Keadaan itu dikatakan mempunyai kaitan tetapi belum terbukti ia disebabkan oleh virus Zika.

virus zika, zika

Artikel Berikut

Artikel Lain