suria

Unit Manjung 4 Penuhi Dua Dasar Tenaga Negara

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menandatangani plak perasmian stesen janakuasa TNB Janamanjung loji Manjung 4 di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Selasa. Turut hadir (dari kanan) Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

LUMUT: Unit Manjung 4, Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah di Manjung dekat sini, berupaya menjana 1,000 Megawat (MW) tenaga elektrik, sekali gus memenuhi objektif pertama dan ketiga Dasar Tenaga Negara dari segi keselamatan bekalan serta melindungi alam sekitar.

Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata penggunaan teknologi 'kritikal super ultra' moden dan canggih di stesen janakuasa itu memastikan penjanaan bekalan elektrik yang selamat, sekali gus berjaya menangani isu-isu alam sekitar.

Malah, katanya menerusi unit Manjung 4 itu, kebolehbergantungan bekalan tenaga elektrik dapat diperkukuh menerusi pembinaan yang berkos efektif. 

"Penggunaan peralatan kawalan pencemaran udara yang lengkap, dapat memastikan bahan pencemaran diperangkap dan tidak dilepaskan melebihi piawaian pelepasan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar," katanya ketika berucap pada perasmian Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah di Manjung yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Menjelas lanjut Ongkili berkata pihaknya yakin dan percaya penggunaan teknologi hijau di unit Manjung 4 dapat menyumbang kepada pembangunan lestari, dengan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara dapat dicapai tanpa memusnahkan alam sekitar.

"Boleh dikatakan Manjung 4 merupakan sebuah stesen janakuasa arang batu yang menggunakan teknologi penjanaan yang paling efisien di Asia Tenggara pada masa ini," katanya. 

Ongkili berkata penjanaan tenaga elektrik menggunakan teknologi hijau di Manjung 4 menepati salah satu teras utama Rancangan Malaysia ke-11 iaitu mencapai Pertumbuhan Hijau dengan melibatkan pengurangan intensiti karbon dalam ekonomi negara.

Menurutnya Malaysia bukan sahaja memberi tumpuan kepada teknologi hijau, malah telah dan sedang meneroka pelbagai sumber tenaga boleh baharu dalam usaha menyediakan bekalan elektrik yang mesra alam, termasuk menggunakan mekanisme galakan tarif (FiT) seperti solar, biojisim, geotermal serta mikro hidro. 

Beliau berkata bagi melonjakkan lagi usaha itu, tindakan agresif sedang diambil untuk meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 1,000 MW bagi tempoh 2017 hingga 2020 melalui pembinaan kemudahan tenaga solar berkapasiti besar. 

"Kita juga telah dan sedang membangunkan loji-loji biojisim atau biomass yang menjana biogas dan juga loji geotermal bagi menghasilkan tenaga elektrik," katanya.

Menurut Ongkili semua inisiatif yang diambil oleh Malaysia bertujuan mencapai sasaran menjana 2080MW kapasiti terpasang daripada tenaga boleh baharu iaitu 7.8 peratus daripada keseluruhan kapasiti terpasang menjelang 2020 di Semenanjung Malaysia dan Sabah. 

Kerajaan juga sedang mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak lapan peratus dalam tempoh 10 tahun mulai tahun ini termasuk memastikan suhu-suhu di bangunan kerajaan tidak rendah daripada 24 darjah selsius.

Projek Manjung 4 mula dibina pada 31 Mac 2011 di atas sebuah pulau tebus guna seluas 325 hektar berhampiran Teluk Rubiah dengan kos hampir RM6 bilion.-- Bernama

Artikel Lain