suria

Lelaki tempatan usia 47 tahun disahkan maut, seorang cedera insiden pokok tumbang

Anggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan pemandu kenderaan Mercedes yang tersepit akibat dihempap pokok. -Foto JBPM

SEORANG lelaki warga tempatan disahkan maut dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, petang Selasa.

Mangsa yang berusia 47 tahun merupakan pemandu kenderaan jenis Mercedes, iaitu salah sebuah daripada 17 kenderaan yang dihempap pokok besar berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Kuala Lumpur, M. Fatta M. Amin berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.19 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pokok besar tumbang di Jalan Sultan Ismail, hempap kenderaan dan landasan monorel

Seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat pokok besar tumbang di atas jalan raya melibatkan 17 buah kenderaan dan landasan monorel di sebelah atas telah dihalang dengan dahan-dahan pokok.

MERC 2

Pemandu Mercedes disahkan maut akibat dihempap pokok tumbang berkenaan.

"Terdapat dua orang mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh anggota, mangsa pertama seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia.

"Mangsa kedua lelaki tempatan, 26, mengalami kecederaan telah diserahkan kepada pihak paramedik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, mStar melaporkan beberapa kenderaan dihempap sebatang pokok yang tumbang di Jalan Sultan Ismail berdekatan Hotel Concorde.

Video serta gambar mengenai kejadian turut tular di laman sosial.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain