suria

'Welcome To The Club', Kata Hannah Yeoh Kepada Muhyiddin

Hannah Yeoh (kiri) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA: Hannah Yeoh tidak menunjukkan simpati terhadap nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihalang berucap dalam satu majlis sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4 di sini, pada Ahad.

Speaker Selangor itu pada Isnin menjelaskan bagaimana wakil-wakil pembangkang tidak dibenarkan menghadiri acara-acara di sekolah dan Muhyiddin kini dapat merasainya sendiri.


"Muhyiddin dihalang daripada berucap pada majlis di sebuah sekolah di USJ 4? Welcome to the club.

"Wakil rakyat Pakatan Harapan telah menonjolkan tentang ketidakadilan ini sejak tahun 2008 lagi," kata Yeoh di laman Facebook, Isnin.

Ini adalah tindak balas kepada bekas timbalan perdana menteri yang sebelum ini mencatatkan bahawa beliau tidak dibenarkan berucap dalam satu majlis yang dihadirinya di USJ 4 kerana 'pihak-pihak tertentu'.

Yeoh, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Subang Jaya berkata beliau masih dihalang daripada menghadiri acara-acara di sekolah dan tidak dapat masuk ke sekolah-sekolah untuk menjalankan aktiviti seperti program-program kesedaran denggi.

"Jika saya hendak berikan cek kepada sekolah, saya perlu melakukannya di luar pintu pagar sekolah.

"Saya harap sekarang mereka sedar bagaimana sekolah-sekolah tidak boleh digunakan sebagai alat politik dan saya akan terus mengulangi apa yang kita telah katakan selama ini - bebaskan sekolah-sekolah kita!" katanya.

Muhyiddin telah menjadi pengkritik lantang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan kemudian digugurkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri semasa rombakan kabinet pada Julai tahun lepas.

Walaupun kekal sebagai Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin telah dihalang daripada berucap di Perhimpunan Agung Umno Disember lalu.

Artikel Lain