suria

Lawatan TPM Ke Beijing: E-Visa Antara Topik Dibincang

Ahmad Zahid Hamidi

BEIJING: Pelaksanaan sistem visa elektronik (e-visa) untuk rakyat China akan dibicangkan dalam lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke China mulai Isnin hingga 4 Februari ini.

Duta Besar Malaysia di China, Datuk Zainuddin Yahya berkata Ahmad Zahid dijangka tiba di ibu negara China ini pada 10 malam ini dan ini merupakan lawatan kerja sulung beliau ke China sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Tujuan lawatan ini ialah untuk mengunjungi para pemimpin China serta mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan beliau, Menteri Keselamatan Awam, Gou Shengkun mengenai pelaksanaan e-visa," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, akan turut mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Pusat Parti Komunis China, Meng Jiangzhu.

Zainuddin berkata Ahmad Zahid juga dijangka mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar pendapat tentang isu berkaitan hubungan dua hala Malaysia-China, di samping isu serantau dan global.

"Timbalan Perdana Menteri juga akan menghadiri majlis makan malam pada Rabu (3 Februari) untuk berjumpa para pelajar Malaysia yang menuntut di Beijing," katanya sambil menyatakan bahawa kira-kira 800 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di China atas tajaan kerajaan dan sektor swasta.

Zainuddin berkata selain mengenai e-visa, Ahmad Zahid juga akan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi maklumat dengan pemimpin China mengenai perkembangan usaha memerangi keganasan dan kegiatan radikalisasi.

Beliau berharap lawatan Timbalan Perdana Menteri akan mempercepatkan pelaksanaan sistem e-visa bagi membantu menarik lebih banyak pelancong China ke Malaysia.

Katanya lawatan ini juga memberi peluang kepada Ahmad Zahid untuk mengeratkan lagi hubungan beliau dengan para pemimpin China.

Ketika mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelancong dari China tidak perlu memohon visa untuk melawat Malaysia antara 1 Mac dan 31 Disember tahun ini.

Menurut laporan, Malaysia ingin menarik lapan juta pelancong dari China setahun untuk lima tahun akan datang, dengan kuasa berbelanja sebanyak RM22.1 bilion, berbanding 1.3 juta pelancong setahun sebelum ini.-- Bernama




e-visa, Beijing, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain