suria

Tujuh Mengaku Tidak Bersalah Kes Bunuh Kevin Morais

KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki termasuk seorang doktor tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, yang mayatnya ditemui di dalam tong dram berisi konkrit.

Mereka membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah selepas pertuduhan dibacakan dan mahkamah menetapkan 25 Feb ini untuk sebutan kes.

Enam lelaki iaitu G. Gunasekaran, 43; R. Dinishwaran, 23; A. Thinesh Kumar, 22; M. Vishwanath, 25; S. Nimalan, 22; dan S. Ravichandaran, 34, mengaku tidak bersalah membunuh Kevin yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul ke No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015.

Pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam Bahasa Tamil.

Pakar Patalogi Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 52, pula mengaku tidak bersalah bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin di tempat, tarikh dan pada masa yang sama.

Pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca  bersama-sama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala enam lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa memohon tempoh tarikh sebutan tiga minggu bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan untuk memindahkan kes satu lagi tertuduh iaitu A. Murugan di Mahkamah Tinggi Shah Alam ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan bersama dengan tujuh tertuduh itu.

Murugan didakwa bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin di Desa Mentari di sini antara 9.30 pagi dan 8 malam, 4 Sept tahun lepas.

Peguam M. Manoharan dan V. Rajehgopal mewakili keeenam-enam lelaki berkenaan sementara Datuk N. Sivananthan mewakili Kunaseegaran manakala Datuk Simon Sabapathy bertindak sebagai peguam pemerhati bagi adik bongsu mendiang, Datuk Richard Dilaan Morais yang turut hadir hari ini.

Mayat Kevin, 55, ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September tahun lepas.

Mendiang dilaporkan hilang pada 4 Sept dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain