suria

Lima Lagi Mayat Pati Ditemui Di Tanjung Kelisa

Anggota polis mengangkat lima lagi mayat mangsa bot karam di perairan Tanjung Kelisa, Bandar Penawar semalam ditemui Rabu. Tragedi itu meragut 18 nyawa, kesemuanya dipercayai warga Indonesia.

KOTA TINGGI: Lima lagi mayat mangsa pendatang asing tanpa izin (Pati) ditemui di perairan Tanjung Kelisa, Bandar Penawar di sini, Rabu, menjadikan jumlah mangsa lemas kepada 18 orang sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superitendan Rahmat Othman berkata, maklumat awal mendedahkan bot pancung yang dinaiki lebih kurang 40 orang Pati dari Pulau Batam, karam dipukul ombak dan angin kencang di perairan Tanjung Kelisa. 

Kumpulan Pati itu dikatakan cuba mendarat secara haram di sini. 

Katanya, terdapat juga Pati yang selamat mendarat dan berjaya meloloskan diri namun jumlahnya tidak dapat dipastikan. 

"Sehingga pukul 12.00 tengah hari ini, 18 mayat (9 lelaki dewasa) dan (9 perempuan dewasa) telah ditemui dan dijangkakan ramai lagi mangsa akan ditemui," kata Rahmat dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata kesemua mayat lelaki yang ditemui orang awam dihantar ke Hospital Sultan Ismail Johor Baharu, Rabu.  

Beliau berkata buat masa ini, laut masih bergelora dengan kelajuan angin 30-40 kilometer sejam sementara ombak berada pada ketinggian 2.5 hingga tiga meter.

Rahmat berkata operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan oleh 19 anggota PPM Pengerang dan enam anggota Balai Polis Bandar Penawar. 
Pagi semalam, mayat 9 wanita dan empat lelaki dijumpai. -- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain