suria

Empat Pegawai YPM Bebas Tuduhan Tuntutan Palsu

PUTRAJAYA: Empat pegawai kanan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) terlepas daripada menjalani hukuman penjara tiga tahun setelah Mahkamah Rayuan di sini, pada Rabu mengetepikan sabitan mereka atas tuduhan memalsukan tuntutan untuk pembayaran balik tiket penerbangan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan terakhir mereka bagi mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda RM43,125 atau enam bulan penjara. 

Mereka ialah Noraidah Johar, 45, pengurus di unit penyelaras projek khas; Nurmawati Redzwan, 48, penolong pengurus hal ehawal pelajar; Muhammad Suhaimi Ismail, 46, penolong pengurus kewangan di unit pinjaman Pendidikan Tinggi yayasan, dan Zolkefli Mohd Ali, 50, penolong pengurus pentadbiran. 

Dalam keputusannya, Hakim Tengku Maimun berkata melihat pada keterangan secara keseluruhan, unsur niat pihak perayu untuk menipu tidak dibuktikan oleh pendakwaan. 

Dua hakim lain ialah Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Ahmadi Asnawi. 

Empat pegawai itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan mereka bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati mereka bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara. 

Mahkamah Tinggi pada 27 Februari tahun lepas turut menaikkan denda pihak perayu masing-masing daripada RM10,000 atau penjara enam bulan kepada RM43,125 atau penjara enam bulan (ulang: enam bulan). 

Pegawai-pegawai itu didapati bersalah pada 12 November, 2013, oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan memalsukan tuntutan mereka dengan menyatakan bahawa mereka telah membayar sejumlah RM12,125 untuk tiket penerbangan kelas bisnes pergi balik ke Jepun bila jumlah sebenar hanya RM3,500, bagi kelas ekonomi.  

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di YPM antara 18 Mei, 2010 dan 3 Jun, 2010. 

Peguam mereka Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa pegawai itu tidak berniat menipu atau mengelirukan oleh kerana mereka menuntut berdasarkan kelayakan mereka dan secara jujur percaya mereka boleh berbuat demikian. 

Beliau berkata mereka juga layak menaiki kelas bisnes. 

Juga mewakili pegawai-pegawai itu ialah peguam Azrul Zulkifli Stork sementara Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Afifah Yusof menjalankan pendakwaan. -- Bernama

Artikel Berikut

BR1M 2016 Dibayar Mulai Esok

Artikel Lain