suria

Bekas Tentera Terlepas Tali Gantung

TAIPING: Seorang bekas anggota tentera terlepas daripada tali gantung walaupun didapati bersalah membunuh anak kandungnya dua tahun lepas.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan Abdul Harif Mohamad, 48, dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk satu tempoh sementara menunggu perkenan daripada Sultan Perak.

Mohamed Zaini dalam penghakimannya berkata Mahkamah Tinggi di sini mendapati tertuduh telah menjerut leher Ahmad Solehin yang ketika itu berusia 21 tahun dan juga merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) sehingga mati.

"Walaubagaimanapun, dia (tertuduh) didapati melakukan perbuatan itu dalam keadaan akal tidak waras dan tidak mengetahui akibat perbuatannya.

Oleh itu, mahkamah perintahkan tertuduh ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta seberapa lama mana sehingga mendapat perkenan pengampunan Sultan Perak seperti dalam Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Abdul Harif dituduh membunuh anak sulungnya yang mesra dipanggil Along, pada 9 Disember 2014 di rumah mereka yang beralamat di Lot 7839, Jalan Terusan Simpang Lima, Parit Buntar, antara jam 5.30 pagi hingga 7.30 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Semasa perbicaraan, mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh mengalami masalah "Bipolar Disorder Type 2" (kecelaruan mental) dan pernah dirawat di Wad Psikiatrik Hospital Pulau Pinang.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari, manakala tertuduh diwakili peguam Rajit Singh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain