suria

80 Sekolah Tamil Akan Ditempatkan Semula

SEREMBAN: Daripada 160 buah sekolah di seluruh negara yang mengalami masalah kekurangan murid, 80 buah atau 50 peratus daripadanya merupakan Sekolah Tamil, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata kementerian dalam proses untuk mengenal pasti bagi menempatkan semula sekolah berkenaan.

"Masa dahulu sekolah ini dibina di kawasan ladang (getah). Tetapi apabila ladang dijual dan industri perladangan kurang memberangsangkan, sekolah masih kekal walaupun penduduknya (pekerja estet) sudah tiada.

"Oleh itu kita akan cuba mencari lokasi sekolah lebih sesuai di kawasan baharu. Saya ingin merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan kerana membantu kita mengenal pasti tapak dan memberi tapak yang sesuai untuk memastikan sekolah ini mendapat tempat yang baharu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan khas fasa kedua berjumlah RM2.56 juta kepada 32 buah Sekolah Tamil di Negeri Sembilan, di sini pada Rabu, yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri, Rusni Ab. Jalil.

Kamalanathan berkata penempatan semula sekolah adalah tertakluk kepada permohonan dan permintaan sekolah tersebut.

"Kita tidak boleh memaksa mereka, tetapi apabila ada keperluan iaitu apabila sekolah membuat permohonan, kita akan uruskan.

"Di Kementerian Pendidikan, kita telah pun meminta sekolah yang ingin membuat penempatan semula supaya memohon kepada kementerian dengan syarat mereka juga mengenal pasti tapak," katanya.

Beliau berkata kini terdapat 524 buah Sekolah Tamil di seluruh negara dan daripada itu, 371 buah merupakan sekolah bantuan modal.

Sekolah Tamil

Artikel Lain