suria

Suami Isteri Mengaku Tidak Bersalah Angkut 1.15 Juta Rokok Seludup

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengangkut rokok seludup berjumlah 1.15 juta batang bernilai RM92,000 minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, B.Nesa Gandhi, 35, dan isterinya, R.S. Surikala, 33, secara bersama dituduh mengangkut rokok berjenama SAAT berkenaan di dalam sebuah lori di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 8.30 malam 19 Januari lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum menurut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh didenda maksimum hingga RM1.84 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atu kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen Muhammad Firdaus Abdul Rahim kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dan menetapkan 15 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorjidah Mohd Jusan.-- Bernama


rokok seludup, SAAT, Akta Kastam 1967

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain