suria

Bauksit: Kehidupan Peneroka Felda Terancam

KUANTAN: Kehidupan sebahagian keluarga peneroka Felda di Bukit Goh di sini sengsara apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai ancaman berbaur ugutan termasuk penipuan pelombong sejak kawasan itu dikenal pasti sebagai 'lombong emas merah' - bauksit.

Peneroka, Mohd Hamdi Shuib, 49, berkata, bapanya tertekan selepas ditipu oleh kontraktor yang mahu melombong tanah seluas 10 hektar milik keluarganya.

Beliau berkata, kontraktor menawarkan RM200,000 tetapi selepas membayar RM40,000 dan meratakan kawasan kelapa sawit, mereka tidak melombong tanah itu atau membayar bakinya.

"Ayah pening (bapa saya tidak tahu apa yang harus dilakukan)," katanya.

Tanpa pokok kelapa sawit untuk menuai dan tiada bayaran daripada pelombong, wang yang diterima cepat dihabiskan berikutan para peneroka perlu membayar RM47,000 kepada Felda untuk fi penanaman semula sekiranya mereka memotong pokok-pokok mereka.

"Nasib baik ia merupakan kontrak 'kedai kopi' yang membolehkan kami untuk keluar dari perjanjian itu," kata Mohd Hamdi, sambil menambah terdapat peneroka lain yang tidak bernasib baik.

Katanya, kontraktor mengancam keluarganya semasa dia didatangi kontraktor lain untuk melakukan aktiviti perlombongan.

"Bagaimanapun, tiada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.

Menurut Bernama, peneroka, Salwani Tajuddin, 37, ditawarkan RM1 juta tetapi menolaknya untuk  tidak memajak ladang sawitnya bagi dijadikan kawasan perlombongan bijih bauksit

Salwani berkata pada awal 2015, beliau didatangi seorang lelaki yang menawarkan deposit RM500,000 untuk mengorek bauksit di ladang sawitnya seluas empat hektar.

Katanya, selepas tawaran itu ditolak, lelaki itu kembali semula beberapa hari kemudian dengan menjanjikan tawaran lebih tinggi yang mencecah RM1 juta.

"Selepas saya turut menolak tawaran RM1 juta itu, lelaki itu menjadi berang dan berkata saya bodoh kerana menolak wang sebanyak itu.

"Namun bagi saya, mereka yang memajak tanah sawit kepada pengusaha bauksit, itulah yang sebenarnya rugi kerana gelap mata dengan duit yang hanya dapat bertahan untuk beberapa ketika, tetapi tanah mereka tidak akan kembali seperti dahulu," katanya.

Salwani yang telah 18 tahun menjadi peneroka berkata beliau tidak mahu ladang sawitnya menjadi seperti padang jarak padang tekukur akibat digondol dengan rakus.

Menurutnya, individu yang sanggup memberi wang RM1 juta tersebut tidak mudah berputus asa kerana beberapa bulan kemudian beliau didatangi lelaki sama memohon supaya tanahnya dijadikan pula kawasan menyimpan lori dan bijih bauksit dengan bayaran RM5,000 sebulan, namun beliau tetap menolak tawaran itu.

"Untuk menjadikan tanah saya sebagai tempat simpanan pun saya tidak mahu," katanya.

Sementara itu bapanya, Tajuddin Harun, 68, yang memiliki warung makan berkata pengusaha bauksit juga tidak mematuhi janji mereka untuk memberi pampasan pembersihan akibat pencemaran bauksit sebanyak RM1,000 sebulan kepada setiap peniaga makan terbabit dan RM500 kepada setiap pemilik rumah. 

Katanya, dia hanya menerima pampasan RM1,000 bagi satu bulan sahaja  dan tidak lagi menerimanya selepas itu. 

"Perniagaan saya juga terjejas kerana tidak ramai lagi pelanggan yang datang akibat pencemaran debu merah," katanya.

Seorang lagi pemilik warung, Ramlah Awang, 49, berkata, keluarganya bernasib baik tidak memajak tanah mereka disebabkan desakan ibu bapanya.

"Mereka percaya pokok-pokok berkenaan akan terus menjana pendapatan, bauksi hanya janji yang sekejap sahaja," katanya.

Ramlah, yang berniaga di sepanjang jalan utama di Bukit Goh berkata, pada awalnya dia mempertimbangkan untuk memajak tanah milik keluarganya memandangkan perniagaanya terjejas berikutan debu dari lori-lori tetapi dihalang oleh ibu bapanya.

Bukit Goh merupakan salah satu lokasi utama untuk perlombongan bauksit dan menyaksikan perubahannya kepada "zon merah" akibat debu bauksit.

Timbalan pengerusi jawatankuasa kebajian pesra Felda Bukit Goh, Nik Abd Majid Nik Sin berkata, terdapat 671 peneroka di kawasan itu, dan 248 orang telah memajak tanah mereka dan kira-kira 150 lagi tanah mereka telah diratakan.

Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh, Dr Sahrudin Mohd berkata, tanah berkeluasa 10 hektar biasanya bernilai bernilai sehingga RM 50,000.

Sabtu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bukit Goh, Datuk Dr Abd Wahid Abd Manap meminta kerajaan negeri untuk membantu pelombong berdaftar dan penduduk berikutan bandar berkenaan telah menjadi 'bandar koboi' selepas pelombong yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, jawatankuasa itu mengendalikan beberapa kes di mana penduduk ditipu oleh segelintir pelombong.

"Adalah sukar untuk membantu sekiranya mereka telah menandatangani kontrak. Oleh itu, penduduk diminta untuk menghubungi kita atau mendapatkan peguam bagi memastikan kontrak mereka adil," katanya.

Julai lalu, seramai 71 peneroka yang membenarkan tanah mereka untuk perlombongan bauksit mendakwa telah ditipu dalam perjanjian berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob ketika diajukan mengenai isu tersebut berkata, kerajaan negeri tidak dapat membuat pendakwaan terhadap pelombong bauksit kerana mereka telah terikat perjanjian dengan peneroka.

Peneroka diminta untuk membawa kes mereka ke mahkamah memandangkan perjanjian tersebut melibatkan dua pihak.

bauksit, Bukit Goh

Artikel Lain