suria

Penuntut Tahun Akhir UMT Maut Dalam Kemalangan

BALING: Seorang pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Terengganu (UMT) maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 48.1 Jalan Baling-Sungai Petani berdekatan Kampung Charok Bemban pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Sharifuddin Yusof berkata dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa Siti Natrah Mat Hussin,23, yang sedang dalam perjalanan dari arah Baling ke Kupang bertembung dengan Perodua Kancil dari arah bertentangan.

"Kereta Kancil berkenaan melanggar tepi sebelah kanan motosikal mangsa sehingga tercampak ke tepi jalan, dan mangsa disahkan mati di tempat kejadian," katanya.

Siasatan awal katanya mendapati pemandu kereta terbabit hilang kawalan semasa memandu di selekoh sehingga memasuki laluan motosikal berkenaan.

Sementara itu ibu mangsa, Rokiah Saad,60, berkata anaknya yang merupakan penuntut tahun akhir dalam bidang maritim merupakan seorang yang sangat pendiam dan manja.

"Dia cuma bergurau semalam dengan mengatakan dia akan lambat pulang ke rumah dan hanya akan pulang pada cuti Tahun Baru Cina," katanya.

Rokiah berkata beliau sekeluarga reda dengan ketentuan yang ditakdirkan dan berharap roh anaknya dicucuri rahmat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
kemalangan jalanraya, penuntut, UMT

Artikel Lain