suria

Landasan Keretapi Zaman Penjajah Dikesan Di Bukit Seraya

Presiden Sahabat Pulau Pinang, Syed Kamalrul Sufian Syed Kadiron Mustafa (Kiri) bersama Ketua Unit Warisan Majiis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Pulau Pinang, Ahmad Nasharuddin Ismail (kanan) menunjukkan serpihan landasan kereta api dan skru-skru berusia lebih 100 tahun selepas membuat pencarian landasan kereta api yang dibina pada tahun 1915 di Bukit Seraya, Bukit Mertajam.

BUKIT MERTAJAM: Landasan keretapi dipercayai dibina pada zaman penjajah Inggeris sepanjang kira-kira dua kilometer ditemukan di Bukit Seraya, di sini.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Dan Warisan Melayu Pulau Pinang (Sahabat) Syed Kamalrul Sufian Syed Kadiron Mustafa berkata, penelitian awal pihaknya mendapati landasan itu dipercayai dibina sekitar 1915 oleh pihak Inggeris.

"Keretapi ini dipercayai digunakan untuk aktiviti melombong bijih besi di puncak Bukit Seraya.

"Kajian lebih terperinci perlu dilakukan kerana kesan landasan ini masih jelas kelihatan kecuali di bahagian bawah bukit, banyak rel besi telah hilang dipercayai dicuri," katanya kepada pemberita di sini.

Menurut beliau semasa perang dunia kedua (1940-45), kawasan berkenaan dikatakan telah diserang oleh tentera Jepun hingga menyebabkan landasan keretapi berkenaan tertimbus di dalam bukit akibat dibom.

Syed Kamalrul Sufian berkata, kawasan itu kemudiannya menjadi lokasi persembunyian komunis yang dibuktikan dengan penemuan terowong yang dipercayai dibina untuk dijadikan tempat perlindungan di puncak bukit itu.

Sementara itu, Ketua Unit Warisan Majlis Perbandaran Seberang Perai, Ahmad Nasyaruddin Ismail berkata tapak itu perlu diteroka bagi mengesan lebih banyak artifak berharga.

"Setakat ini kami menemui beberapa artifak seperti elemen skru lama, komponen lokomotif yang telah terlerai dan serpihan rel keretapi yang kebanyakannya tertanam di dalam tanah.

"Menurut cerita penduduk di sekitar kawasan ini, pada 1980an terdapat (rangka) lokomotif di kaki bukit ini, namun ia dipercayai telah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya. 

Ahmad Nasyaruddin berkata, pihaknya juga menemui serpihan bijih besi, menguatkan dakwaan bahawa berlaku aktiviti perlombongan galian itu di situ. -- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain