suria

Rumah Tumpangan Di Butterworth Musnah Dalam Kebakaran

Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan api yang memusnahkan sebuah bangunan dua tingkat yang dijadikan rumah tumpangan 20 bilik di Lorong Bagan Luar 1, Bagan Luar Butterwoth, Ahad. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran pukul 3.10 petang itu. -fotoBERNAMA
BUTTERWORTH: Sebuah bangunan dua tingkat yang dijadikan rumah tumpangan dengan menempatkan 20 bilik di Lorong Bagan Luar 1, Bagan Luar di sini musnah dalam kebakaran pada Ahad.

Kebakaran pada 3.10 petang itu turut memusnahkan dua kaunter tiket bas dan sebuah kedai kasut terpakai yang beroperasi di tingkat bawah bangunan berusia lebih 50 tahun itu.

Tiga penghuni di rumah tumpangan berkenaan dan empat peniaga sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari berlakunya kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khalil Abdul Rahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.14 petang dengan jentera pertama tiba di lokasi kebakaran seminit kemudian.

"Ketika bomba tiba, api sedang marak dan merebak di bangunan yang diperbuat daripada kayu itu. Tambahan pula angin kuat menyukarkan kami memadamkan kabakaran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Khalil berkata api berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan bersebelahan pada pukul 3.29 petang dan dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian dengan kekuatan tiga jentera dan 20 pegawai serta anggota bomba.

"Operasi memadam kebakaran di bangunan berkeluasan 120 kaki persegi itu turut dibantu kira-kira 50 anggota daripada enam pasukan Bomba Sukarela," katanya.

Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, penghuni rumah tumpangan yang hanya ingin dikenali sebagai Ravi berkata dia sedang berehat di dalam bilik sebelum terdengar jeritan mengenai kebakaran.

"Saya keluar dari bilik untuk melihat dan nampak asap, saya terus lari menyelamatkan diri. Beberapa helai pakaian tidak sempat ambil...nasib baik dompet dan telefon bimbit ada dalam poket seluar," kata lelaki berusia 30-an itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain