suria

Tukang Paip Ditahan Jual Senjata Api Tiruan Menerusi Facebook, Wechat

JOHOR BARU: Polis merampas enam pistol tiruan dan menahan seorang tukang paip kerana dipercayai menjual barangan tersebut menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WeChat, di sebuah rumah di Jalan Sutera 3, Taman Sentosa di sini, Jumaat malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, SAC Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berumur 22 tahun dan berasal dari bandar raya ini, ditahan kira-kira 10.30 malam selepas polis bertindak atas maklumat kegiatan penjualan senjata api tiruan berkenaan.

"Selain enam pistol tiruan, polis turut merampas dua telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Honda CRV bersama serangkai kunci daripada lelaki tersebut," katanya dalam kenyataan, di sini Sabtu.

Kamarul Zaman berkata, siasatan mendapati harga sepucuk senjata api tiruan dijual lelaki terbabit dianggar bernilai RM700 hingga RM1,600, dan suspek yang sudah berkahwin didapati aktif melakukan kegiatan itu sejak dua tahun lepas.

Katanya, lelaki itu pernah ditahan polis berkaitan Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, dua tahun lepas, dan berhenti menjalankan perniagaannya, sebelum kembali aktif melakukan perniagaan tersebut pada hujung tahun lepas.

Beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari mulai Sabtu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain