suria

Mangsa Culik Di Lahad Datu Dibebas Selepas Bayar Wang Tebusan RM50,000

LAHAD DATU: Polis menerima laporan berhubung dakwaan seorang wanita diculik di Kampung Silam dekat sini, kira-kira 10 malam Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata, mangsa yang berusia 44 tahun dan berbangsa Suluk, membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Lahad Datu.

Mangsa mendakwa didatangi tiga lelaki bertopeng serta bersenjata api sebelum ditarik masuk ke dalam sebuah kereta jenis Ford lama berwarna putih yang tidak mempunyai nombor pendaftaran, katanya.

"Mangsa juga memaklumkan terdapat dua lagi suspek menunggu dalam kenderaan berkenaan dan membawanya ke jalan Dewata seterusnya ke jalan Danum," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Hamzah berkata ketika dalam kereta itu, mangsa diugut bunuh sekiranya gagal menyediakan wang tebusan RM50,000, sebelum diarah menghubungi anggota keluarga untuk menyediakan sejumlah wang tersebut.

"Kira-kira dua jam kemudian, wang itu berjaya disediakan dengan bantuan anggota keluarga dan jiran, sebelum diserahkan kepada suspek di simpang Kampung Silam," katanya.

Hamzah berkata, suspek kemudian melarikan diri dan mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961. - Bernama

Artikel Lain