suria

Dua Parah, Tiga Cedera Bas Rempuh Belakang Lori

IPOH: Dua penumpang bas parah manakala tiga lagi cedera ringan apabila bas yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori di KM 313.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini, awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian 4.20 pagi itu, Ong Yong Lien, 31, cedera parah di bahagian kepala manakala Mohd Sharipudin Shariff, 48, patah kaki dan mereka kini menerima rawatan di Hospital Tapah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah DSP Mohd Razali Abdullah berkata 10 penumpang menaiki bas itu yang sedang dalam perjalanan dari Kedah menghala Kuala Lumpur.

"Ketika menuruni bukit, bas berkenaan cuba memotong lori yang berada di lorong kiri tetapi tidak lepas dan merempuh bahagian belakang kanan lori," katanya.

Katanya pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan tiga penumpang bas termasuk pemandu cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital manakala enam penumpang lain yang tidak cedera meneruskan perjalanan dengan menaiki bas lain. - BERNAMA

kemalangan, bas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain