suria

Hak Untuk Bercakap Perlu Diberi Kepada Pemimpin Dipilih Rakyat- Mukhriz

Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

PETALING JAYA: Menafikan hak timbalan presiden dan naib presiden untuk berucap di Perhimpunan Agung Umno adalah bertentangan dengan dasar inklusif parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata pemimpin yang dipilih secara demokrasi perlu diberi peluang untuk berucap di hadapan perwakilan yang telah mengundi mereka.

“Mempunyai perbezaan pendapat pasti tidak akan menyebabkan sebarang perpecahan dalam parti.

"Malah, ia akan mengukuhkan parti, kerana ia menunjukkan ada check and balance demi kepentingan parti," kata Mukhriz yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno.

Mukhriz akhirnya bersuara mempertahankan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal pada majlis makan malam di Saloma Bistro malam Jumaat.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin dan Shafie.

Mukhriz juga berkata menganjurkan makan malam itu boleh menjejaskan  kedudukannya dalam parti.

"Itulah risiko saya perlu ambil walaupun mengadakan majlis seperti ini tidak bertentangan dengan perlembagaan."

Mukhriz berkata adalah sesuatu yang tidak digalakkan untuk menetapkan sebarang keutamaan yang tidak baik seperti menghalang pemimpin yang dipilih daripada berucap kerana ia akan menghakis keyakinan orang ramai.

“Kita perlu memenangi hati rakyat untuk kekal berkuasa.

"Kita tidak boleh mengambil ringan rungutan dan isyarat kecemasan daripada akar umbi," katanya.

Artikel Lain